Sebelum ini saya ada menyatakan bahawa akan berkongsi pengalaman pertama jejakkan kaki ke bumi Paitan.
Rasanya, malam ini ada sedikit ruang untuk mencoret sedikit rasa.
Perjalanan yang memakan masa lebih 5 jam perjalanan agak mencabar. Jalan yang tidak rata dan berbatu sangat menguji ketahanan pinggang walaupun kami menaiki 4WD.
Tak terbayang apabila daie kami di Paitan menaiki motorsikal dari Paitan ke KK bagi sebarang urusan yang memerlukan beliau turun ke KK (doakan beliau mampu memiliki kereta ya, teman2).
Kedudukan kampung yang berjauhan antara satu sama lain dan keadaan jalan yang tidak berturap, berbatu dan tanah merah, betul-betul mencabar.
Kami ke sana saat musim kering. Kemarau. Tiada hujan. Takungan air tidak banyak, menyebabkan orang kampung termasuk kami mandi di Sungai Sugut. Deras airnya. Menakutkan juga. Dari ketengah, kami akhawat mandi ditepi-tepi sahaja (bos suruh 😂).
Oh, tiada talian di sana (ada kawasan yang ada, tapi di pejabat tiada). Maka, hari-hari kami tertumpu dengan kerja-kerja mem'5S'kan pejabat baru di sana. HCF Beluran sudah diwujudkan pada tahun 2017, tetapi baru sahaja ada pejabat, Alhamdulillah.
Sebelum ini, pejabat mereka dimana mereka berhenti, disanalah mereka menggerakkan kerja. Hebat, bukan?
Dua hari bermalam, sempat kami menziarahi sebuah kampung yang jaaaauh dari pejabat kami, santunan HCF Beluran. Ada dijalankan KBSB di sana. Kampung Abuan.
Masya Allah! Jauh perjalanan, kiri kanan hutan (ada pembalakan di sana kelihatan sangat aktif), tiba-tiba ada kampung. Boleh bayang?
Jalan tanah merah, berbatu besar dan tajam. Pernah sekali HCF Beluran berziarah di sana, pecah tayar 4WD. Dan kebiasaannya dai'e kami akan ke sana dengan hanya menaiki motor.
Pernah jatuh tergelincir disebabkan jalan licin berlecak. Tak mampu nak bayang. Perjalanan dari pejabat ke kampung tersebut mengambil masa 40-60 minit perjalanan bergantung pada kelajuan.
Selesai ziarah, kami pergi ke pekan (baru tahu selepas kali kedua pergi, itu bukan pekan rupanya. Ia kampung yang sedikit maju dari yang lain. Lupa nama kampung, jadi saya kata pekan, ya) mencari makanan dan beli keperluan pejabat sebelum pulang sambung kerja.
Keesokannya pulang ke KK. Sepanjang perjalanan saya banyak berfikir. Koreksi diri. Betapa mereka-mereka ini mengabdikan diri untuk dakwah di kawasan masing-masing.
Saya di KK tidak begitu merasa suasana mereka masuk ke pedalaman dengan kerap. Perjalanan merentas sungai dan jalan yang teruk. Berpanas berhujan dengan hanya menaiki motorsikal. Jatuh, bangun sendiri demi dakwah. Menyantuni masyarakat kampung yang pelbagai ragam, tak pernah sedikit pun berputus asa.
Banyak yang saya belajar dalam perjalanan pulang. Hidup ini lebih beerti dengan memberi. Jangan berkira banyak mana yang telah dikerah. Kerana manisnya bila ada yang datang dengan syahadah atas sentuhan rahmah.
Berminat untuk menyumbang? Hubungi kami di sabah@hcf.org.my atau 011-1881 2126 (Hotline) atau cari kami di facebook: Hidayah Centre Sabah.
"Sampaikan Islam, Santuni Mualaf"